widget

Friday, February 15, 2013

dari LAMAN TINTA imam muda asyraf


Relaks…Jangan Gelojoh!

NikmatDunia
JANGAN SAMPAI TERSADUNG KAKI MENGEJAR DUNIA
“Akmal! Sekarang di café ada promosi hebat. Beli ‘laptop’ dapat percuma telefon bimbit. Jom kita pergi tengok!” Kata Saiful yang baru masuk ke bilik Akmal dalam keadaan tergesa-gesa.
“Relaks bro…jangan gelabah. Baru azan Asar jer nih. Kita solatlah dulu, lepas tu aku ikut kau pergi café sekali,” ujar Akmal sambil menyarung kain pelikat.
“Eh, promosi tu bukan sedang nak dapat! Siapa cepat dia dapat. Lagipun kita kan memang tengah nak beli laptop. Sekejap sahaja, lepas promosi kita solatlah. Takkan habis waktu punya,” begitu semangat Saiful memujuk Akmal.
“Kau ni Saiful, tak lari ke mana KLCC dikejar. Kita ‘settle’ urusan kita dengan Allah, pasti urusan dunia kita akan di’settle’kan oleh Allah. Dunia ni kalau mahu dipikul, satu Putrajaya pun tidak cukup. Tapi orang yang bijak, dia takkan gelojoh dengan dunia. Namun dia bijak mengambil nikmat dunia.” Akmal dengan selamba menghampar sejadah sambil mulut membebel.
“Kau ni, sejak bila jadi ustaz plak nih. Panjang pulak tazkirah petang-petang nih. Mentang-mentanglah minggu ini minggu exam, terus kau jadi alim.” Saiful terduduk di katil merungut manja mendengar ceramah Akmal.
“Saiful…orang yang bijak menikmati dunia ni umpama lebah dan madu. Tumpahan madu yang cair membuatkan lalat-lalat datang menghinggapinya. Seekor lalat yang gelojoh akan terus terjun ke tengah-tengah tompokan madu pekat itu. Akhirnya ia terperangkap dan melekat di situ lalu mati disebabkan keserakahannya.
Seekor lalat lagi yang agak bijak, datang ke arah madu dan hinggap di pinggir tompokan madu secara sedikit-sedikit. Ia mencicipi madu secukup rasa. Kemudian apabila ia puas ia terbang semula. Lalat yang bijak ini tidak menikmati madu secara berlebihan. Tetapi hanya sekadar untuk menghilangkan laparnya. Setelah perut terasa lapar kembali, ia pun hinggap semula di pinggir tompokan madu tersebut.
Apa yang nak aku kongsi di sini, perumpamaan rezeki dunia ini mestilah disikapi dengan sabar danqanaah (berasa cukup). Sekiranya kita gelojoh untuk menikmati dunia, maka kita akan terperangkap. Sekiranya kita bijak mengambilnya, maka rezeki itu akan terus ada berpanjangan.” Ujar Akmal kepada Saiful dengan agak panjang lebar.
Secara tiba-tiba suasana berubah menjadi sesi kaunseling.
“Aku faham semua tu. Lagipun, aku bukan tak mahu solat. Cuma sekejap sahaja kita turun ke café, kemudian kita solatlah. Kau ni tiba-tiba je bagi tazkirah kat aku ni kenapa. Ingat kau seorang sahaja yang tahu bab agama. Aku pun dulu sekolah agama tau…hehehe,” Saiful tersengih sambil tersenyum terus memujuk Akmal.
“Ha..tu la kau. Kau ingat dengan ilmu semata-mata boleh menjamin keimanan? Cuba kau bayangkan, seorang atlit angkat berat yang sudah mempelajari teknik yang betul dalam sukan mengangkat berat. Tubuhnya yang sasa. Jadual pemakanan yang seimbang. Dan ia mampu mengangkat seberat 100kg dengan ilmu dan kepakarannya.
Namun apabila datang waktu subuh, ilmunya tidak mampu membuatkan ia mengangkat selimut walaupun seberat tidak sampai sekilogram. Sebab iman itu perlu dipupuk. Bukan setakat dipelajari” Akmal menyambung semula tazkirah kepada Saiful.
“Baik, kita solat dululah. Lepas solat kita pergi promosi sekali. Aduh, aku pun tak faham sejak bila kau ni jadi ustaz pula. Waktu aku ajak kau pergi surau, kau main game. Sekarang aku ajak pergi promosi kau tazkirahkan aku pula ya. Bijak…bijak.” Saiful menggomel kepada Akmal.
“Hahah…sekali sekala aku pun nak buat alim juga, ikut suka kaulah nak cakap apa, ada aku kisah!” Akmal terus menuju ke bilik air mengambil wudhu sambil mata menjeling dan bibir tersenyum ke arah Saiful.

No comments:

Post a Comment